mutakhir

Derita belum reda

Oleh Mary Victoria Dass

BATU PAHAT: “Anak saya hanya terlantar sakit dengan keadaan lehernya ditebuk bagi melancarkan pernafasan,” kata Najra Zainal, 55, berhubung penderitaan anaknya, Muhd Ariss Muhd Daud, 16, yang terbabit kemalangan jalan raya pada 16 Jun lalu.

Ibu 10 anak itu berkata, keluarganya yang menetap di Kampung Sri Pantai, Senggarang, di sini, menerima dugaan berat apabila anak kesembilannya itu terlantar sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, anaknya parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Batu Pahat selama hampir sebulan.

“Muhd Ariss yang menunggang motosikal bertembung motosikal lain dalam kemalangan di kampung berhampiran. Doktor menyatakan Muhd Ariss berpeluang untuk sembuh namun ia akan mengambil masa.

“Buat masa ini kami sekeluarga menjaganya secara bergilir-gilir termasuk memberikannya susu, membersihkannya serta memberi rawatan asas seperti dinasihatkan doktor.

“Perbelanjaan Muhd Ariss memang banyak iaitu mencecah RM2,000 sebulan termasuk kos pembelian lampin pakai buang dan susu khas disyorkan doktor menyebabkan ahli keluarga termasuk suami, Muhd Daud Mistan, 57, yang bekerja sebagai nelayan bertungkus-lumus mencari rezeki tambahan,” katanya, semalam.

Najra berkata, mereka hanya menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bantuan one-off daripada Persatuan Ci Ai.

“Setiap hari saya berdoa supaya Muhd Ariss pulih kerana dia anak bertanggungjawab dan sanggup berkorban demi keluarganya.

“Dia hanya bersekolah hingga tingkatan tiga kerana mahu membantu meringankan beban keluarga dengan bekerja sebagai pembantu jualan di gerai.

“Walaupun upah hariannya hanya RM30, dia menyerahkannya kepada keluarga,” katanya ketika menerima kunjungan daripada wakil Persatuan Ci Ai baru-baru ini.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 5:30am
d