mutakhir

Taktik lori bercium

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KUALA LUMPUR: Lakukan operasi sulit dengan memindahkan barangan tiruan di tepi jalan atau lebuh raya pada hari tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu antara taktik sindiket pengedaran selipar dan kasut jenama terkemuka tiruan yang dikesan menggunakan dua lori tiga tan bagi menjalankan misi berkenaan.

Sumber berkata, sindiket tidak menyimpan barangan tiruan di dalam stor tetap, sebaliknya hanya akan mengambil bekalan di tepi jalan atau lebuh raya.

“Biasanya sindiket yang memperoleh tempahan daripada pelanggan akan menghantar sebuah lori ke lokasi ditetapkan terutama di Jalan Kuching, di sini, sebelum barangan tiruan dari sebuah lagi lori dipindahkan ke dalamnya.

“Barangan tiruan itu kemudian akan diserahkan segera kepada pelanggan sekali gus mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, taktik sindiket yang juga pembekal barangan tiruan itu terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dibantu wakil cap dagang melakukan intipan sejak sebulan lalu.

Pengarah KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dilakukan jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu membabitkan 10 anggota dan dua wakil cap dagang.

Katanya, pihaknya melakukan serbuan di tiga stor yang terletak di Taman Desa Bakti, Selayang dan Taman Seri Melati, Batu Caves, Gombak.

“Hasil serbuan, pihak kami berjaya menahan seorang lelaki berusia 60 tahun disyaki pengendali urus niaga berkenaan termasuk menggunakan lori terbabit.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 10,190 kasut dan selipar tiruan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM365,400 disita.

“Antaranya jenama Puma, Nike, Adidas, Fila, Converse, Reebok, dan Vans dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Ariffin berkata, sejak awal tahun ini sehingga Rabu lalu pihaknya merekodkan 143 kes barangan tiruan membabitkan 112,105 barangan disita dengan nilai keseluruhan RM4.33 juta.

“Kita menasihatkan individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan tiruan disebabkan ia melanggar hak harta intelek,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 6:00am
d