mutakhir

Lelaki rentung kereta terbakar

Oleh Mohd Sabran Md Sani

LELAKI rentung selepas kereta dinaiki terbakar di Jalan Tembaga 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat Johor Bahru, hari ini.

Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, kejadian 3.30 pagi itu ketika kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dari arah Lebuhraya Pasir Gudang lama menghala ke Pasir Putih.

Katanya, sebuah jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan 3.33 pagi tadi.

“Tindakan itu selepas pusat gerakan operasi (PGO) menerima panggilan kebakaran sebuah kereta jenis Perodua Kenari.

“Pasukan bomba membuat pemadaman dan mengeluarkan mangsa dalam tempoh 20 minit menggunakan peralatan menyelamat.

“Mayat mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, identiti mayat terbabit belum dikenalpasti dan operasi ditamatkan 4.20 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.

Katanya, mangsa terbakar keseluruhan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 8:42am
d