mutakhir

Ajal ke tempat kerja

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WANITA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Manjung-Changkat Jering, Seri Manjung, hari ini.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa, Norlela Ahmad Tan, 51, yang juga pemandu Perodua Kancil meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, mangsa bersama empat lagi rakan sekerjanya berusia antara 24 hingga 40 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang ayam di Kampung Acheh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.29 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan Perodua Kancil yang dinaiki lima wanita dengan Volkswagen Passat yang dipandu seorang lelaki.

“Perodua Kancil berkenaan bergerak dari arah Manjung menghala ke Kampung Acheh, manakala Volkswagen Passat pula dari Sitiawan menghala Lumut.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Kancil meninggal dunia, seorang penumpang belakang patah kaki kanan dan tiga lain cedera.

“Pemandu Volkswagen Passat pula tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi membabitkan 11 anggota bersama sebuah jentera, van dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tamat pada 7.42 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 10:39am
d