mutakhir

Tertembak adik ipar disangka musang

Oleh Erika George

SEORANG lelaki disangka musang maut selepas terkena tembakan abang iparnya di hutan Sungai Jelai, Tatau.

Kejadian 10.30 malam, Sabtu lalu, menyebabkan mangsa, Ricky Limbing, 30, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tatau untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Dennis Bunyam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa maut akibat tembakan peluru penabur pada badannya.

“Maklumat awal diterima mendapati mangsa dan abang iparnya berusia 31 tahun menaiki perahu menyusuri Sungai Jelai untuk memburu musang.

“Selepas itu, kedua-duanya mengambil keputusan berpecah bagi memudahkan pemburuan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa ditembak secara tidak sengaja oleh abang iparnya.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas selaras senapang patah dan kelongsong peluru.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 11:38am
d