mutakhir

Beli helikopter tempur: Tunggu Kabinet buat keputusan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Pertahanan akan menyerahkan kepada Kabinet berhubung keputusan sama ada meneruskan atau membatalkan pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G sebelum akhir tahun ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah mendapatkan pandangan dari Pejabat Peguam Negara dan Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan berhubung perkara berkenaan.

“Pejabat Peguam Negara sudah beri pandangan dan pihak dasar (Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan) juga beri pandangan jadi ada dua pandangan utama, dari situ kita akan bawa ke Kabinet untuk buat keputusan.

“Kalau boleh sebelum akhir tahun ini (keputusan). Enam helikopter ini sepatutnya tiba pada November 2017,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Ucaptama Persidangan Mempertahan Negara Maritim: Masa Depan Operasi Bersama ATM.

Sepatutnya, helikopter pertama diterima pada November 2017, namun sehingga kini masih belum terima walaupun sebuah.

Pembayaran sudah dibuat sebanyak RM112 juta iaitu 35 peratus dan bayaran selebihnya akan dilakukan sebaik penghantaran helikopter berkenaan.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ATM didakwa belum menerima enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta, yang mana urus niaga perolehan aset itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Katanya, helikopter juga dikenali dengan nama ‘Little Birds’ terbabit didakwa ditempah Kementerian Pertahanan ketika itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pembentangan kertas putih akan dibuat pada 2 Disember ini.

“Pada peringkat ini, kertas putih kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan di parlimen pada 2 Disember ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 11:42am
d