mutakhir

Sengaja cari bala ni...

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS menerima empat laporan berhubung penularan berita palsu terhadap pemilik akaun Facebook (FB) membabitkan kemangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sejak semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehingga kini empat laporan polis diterima di Johor dan Kuala Lumpur.

“Kita (polis) menerima empat laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun FB mengenai berita palsu (berita kemangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar).

“Kes ini dijalankan pasukan siasatan dari Bukit Aman dan Polis Johor akan membantu proses siasatan itu,” katanya pada Perasmian Penutup Program Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Johor 2019 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar, Kulai, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Menurut Mohd Kamarudin, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Mereka juga dinasihatkan tidak berbuat sedemikian bagi mengelak menjejaskan keharmonian negara.

“Kita (polis) tidak akan berkompromi dan akan mengesan individu terbabit, selain tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, tular menerusi akaun FB milik individu berkongsi berita palsu kemangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sejak semalam.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 12:10pm
d