mutakhir

Polis serbu 'kampung koboi'

Oleh Norasikin Daineh

LIMA lelaki tempatan ditahan selepas didapati memiliki senjata api buatan sendiri termasuk peluru dalam tiga serbuan di Kampung Petani, Pitas.

Dalam serbuan bermula jam 11 malam, Khamis lalu, lima individu berusia antara 25 tahun hingga 45 tahun ditahan di rumah masing-masing.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, serbuan pertama membabitkan tangkapan tiga lelaki manakala dua lagi ditahan melalui serbuan susulan.

“Dalam serbuan pertama, kita berjaya merampas tiga senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan satu senapang guli selain 50 peluru.

“Manakala dalam serbuan kedua, satu bakakuk dan lima peluru dirampas dan serbuan ketiga membawa kepada penemuan satu bakakuk dan enam peluru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Zaini berkata, semua individu itu bekerja sendiri dan dipercayai memiliki senjata api untuk kegunaan sendiri termasuk berburu.

“Semua individu ini dipercayai mendapatkan peluru daripada pemilik senjata api berlesen dan kita dalam usaha mengenal pasti pemilik senjata api terbabit.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 5:32pm
d