mutakhir

Tak puas hati, boleh tengok CCTV - Polis

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS bersedia menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada keluarga tahanan lelaki yang ditemui mati tergantung di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) Jumaat lalu sekiranya mereka memohon kepada pihak berkuasa.

Ia berikutan keluarga terbabit membuat laporan bagi meminta polis menjalankan siasatan memandangkan lelaki itu meninggal dunia ketika berada bawah jagaan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasegaran berkata, suspek lelaki berusia 29 tahun itu membunuh diri, malah rakaman CCTV menunjukkan dia mengikat lehernya sebelum menggantung diri di jeriji lokap.

“Jadi, jika keluarga mahu melihatnya, maka polis boleh benarkan mereka tengok supaya semuanya berpuas hati dan melihat sendiri apa yang berlaku ketika lelaki itu berada dalam lokap,” katanya pada sidang media IPK Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

Rabu lalu, lelaki itu ditahan di Kampung Perlis, Butterworth bersama rakannya berusia 38 tahun sebelum direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, ketika dia ditempatkan di lokap IPD SPU pada kira-kira 4 pagi Jumaat lalu, seorang tahanan mendapati lelaki berkenaan sudah tidak bernyawa selepas menggantung dirinya.

Narenasegaran berkata, penahanan lelaki itu dan proses reman serta siasatan dijalankan ke atasnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan setakat ini kematian tahanan tiada unsur kecuaian atau jenayah.

“Majistret dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga sudah datang melawat lokap serta melihat rakaman CCTV semasa kejadian berkenaan untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Berita berkaitan

Kecewa adik mati dalam lokap

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 11:37pm
d