mutakhir

Paip pecah punca jalan berlubang

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

LUBANG sedalam lima meter disebabkan tanah mendap dikesan berlaku di susur keluar ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di Kuantan, hari ini.

Kejadian yang disedari kira-kira 7.55 pagi itu dipercayai berpunca daripada paip bawah tanah milik Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, mendapan tanah itu menyebabkan wujudnya lubang besar sedalam lima meter.

“Baik pulih jalan terbabit dilakukan PAIP, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberi khidmat nasihat.

“Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk di jalan berkenaan memandangkan susur keluar itu antara laluan utama untuk ke bandar Kuantan dan Indera Mahkota,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Sementara itu, PAIP menerusi kenyataan medianya memaklumkan sebanyak 25,000 akaun pengguna di Kuantan akan terjejas bermula hari ini sehingga 6 petang esok ekoran kerja baik pulih paip terbabit.

Kawasan terbabit ialah seluruh kawasan Indera Mahkota 1,2 dan 3, Taman Shahzan, Kampung Tiram, Tiram Aman, Kampung Paya 2, Cenderawasih Persona 4 dan 5, Bukit Setongkol Perdana, Kolej Widad, Taman Bandar, UIAM, Bukit Istana, Alam Perdana, Mahkota Height, Taman Pelindung dan Pelindung Aman.

Turut terjejas ialah kawasan Semambu, Air Putih, Lokap Indera Mahkota, Kompleks Tun Razak (KOMTUR), seluruh kawasan Jalan Sungai Lembing, Kampung Padang, Taman Impian, Bukit Kuin, Bukit Bakong, Batu Sawar, Sungai Riau dan Kubang Puyu.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 12:10am
d