mutakhir

Rebut RM15,000 di Tasik Raub

Oleh Asrol Awang

HADIAH keseluruhan berjumlah RM15,000 bakal menanti 700 kaki pancing pada Pertandingan Memancing sempena Fiesta RISDA 2019 di Tasik Raub, Raub, Ahad ini.

Pegawai RISDA Raub, Mohd Haris Matori, berkata orang ramai, khususnya kaki pancing diharap memeriahkan Tasik Raub pada program anjuran RISDA Pahang dengan kerjasama Majlis Daerah Raub (MDR).

Katanya, pihaknya mengharapkan pertandingan memancing itu dapat mewujudkan suasana ceria, terutama memanfaatkan cuti persekolahan kerana fiesta itu berlangsung selama tiga hari.

“Pada pertandingan kali ini, tasik itu menantikan peserta untuk menaikkan spesies mega yang ada antaranya patin, kap, haruan, keli, toman, lekoh, tongsan koi, jelawat dan rohu.

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM5,000, diikuti naib juara (RM2,000) manakala ketiga pula menerima RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-50 menerima RM100 seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lebih satu tan ikan dilepaskan di tasik itu, termasuk spesies patin dan keli seberat antara tiga hingga empat kilogram (kg).

Katanya, yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari 3 petang hingga 8 malam dan keesokannya 6.30 pagi hingga 10 pagi.

“Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook, beritapancingmalaysia atau hubungi urus setia di talian 013-2667011 atau 012-2846811,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 12:22am
d