mutakhir

Arab Saudi usaha bangun kod masjid

Oleh Rosyahaida Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi dalam usaha membangunkan kod pembinaan masjid yang bertindak sebagai garis panduan bagi menjadikan rumah ibadat itu lebih selari dengan tuntutan semasa.

Putera Raja Arab Saudi, Putera Sultan Salman Abdulaziz Al Saud berkata, kod itu yang dijangka mula digunakan pada tahun depan akan menggariskan beberapa aspek khususnya teknologi dan gaya hidup terkini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Al Fozan (Afama) menjelaskan, selain melalui Afama sendiri, penyertaan konsultan terbaik dan persetujuan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Saudi turut diambil kira bagi membangunkan kod berkenaan.

“Kita kini menjalani kehidupan berbeza di mana masyarakat lebih banyak berkomunikasi melalui media sosial. Dalam hal ini, bagaimana agaknya masjid akan berperanan pada masa depan.

“Bagi saya juga, masjid adalah rumah Allah yang seharusnya lebih bersih, selesa daripada rumah kita sendiri, tidak boleh kurang.

“Oleh sebab itu, kod itu antaranya akan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek baik dari segi bahan binaannya, langkah penjimatan tenaganya, isu persekitaran, penyelenggaraan, kemudahan akses dan lain-lain.

“Saya percaya arkitek Malaysia akan turut terbabit dalam usaha ini terutama arkitek yang saya kenali dan pernah bekerja bersama sebelum ini,” katanya di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA) 2019 yang antaranya memberi tumpuan kepada pembentangan 27 masjid dari 16 negara Islam yang disenarai pendek dalam Afama 2019 termasuk Masjid Daing Abdul Rahman di Johor.

Sementara itu, Setiausaha Agung Afama 2019, Prof Dr Mashary Abdullah Al Naim berkata, susulan kenyataan Putera Sultan itu, pihaknya juga bercadang memperluaskan kod itu ke peringkat antarabangsa kelak sejurus ia dilaksanakan di Arab Saudi.

Jelasnya, kod itu sememangnya dibincangkan dalam ICMA 2019 yang menyentuh pelbagai isu membabitkan masjid khususnya dari segi ekonomi, persekitaran dan peranan rumah ibadat itu.

“Kod ini bukannya bertujuan meminimumkan kreativiti arkitek mahupun mencari seni bina masjid terbaik dunia, sebaliknya mencari penyelesaian kepada segala masalah membabitkan masjid itu sendiri.

“Kod ini boleh dianggap sebagai garis panduan yang mesti diikuti, ia bukan sekadar untuk seni bina, tetapi lebih daripada itu, untuk mengurangkan impak masalah alam sekitar dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 5:30am
d