mutakhir

Lima kes jangkitan malaria di Terengganu

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan lima kes jangkitan malaria manusia jenis ‘Plasmodium malariae’ di negeri ini, seperti yang tular di laman sosial sejak 20 November lalu.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes membabitkan seorang penduduk dari Kampung Tepoh, Batu Rakit, Kuala Nerus, serta empat warga Indonesia dari Lombok yang datang ke negara ini untuk bekerja.

Beliau berkata, penduduk tempatan berkenaan disahkan mengalami jangkitan malaria manusia jenis ‘Plasmodium malariae’ pada 23 Oktober lalu.

“Susulan kes pertama itu, hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus mengesan empat warga asing yang menghidap jangkitan malaria jenis sama.

“Semua warga asing itu pernah bekerja di negara asal iaitu di Lombok, Indonesia dan datang ke Malaysia antara Februari hingga Julai 2019 secara persendirian.

“Rekod di JKNT menunjukkan kes terakhir malaria bukan tempatan (imported case) jenis ini dikesan di Chukai, Kemaman pada 2012,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar jangkitan berkenaan.

“Kelima-lima kes jangkitan malaria berkenaan sudah dirawat.

“PKD Kuala Nerus juga sudah menjalankan aktiviti saringan ujian darah beramai-ramai (mass blood survey) dan saringan kes demam (Active Case Detection) dalam kalangan penduduk di lokaliti kes bagi mengesan kemungkinan jangkitan malaria menular di kalangan penduduk terdekat dengan kes.

“Buat masa ini situasi kejadian malaria di Kuala Nerus ini adalah terkawal dan tiada jangkitan baru dikesan dalam tempoh hampir lima minggu daripada tarikh kes dikesan,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, PKD Kuala Nerus menjalankan semburan dinding kediaman dan mengedarkan kelambu bagi mengawal nyamuk pembawa malaria.

“Kita juga meminta pengamal perubatan di kawasan kes dan di seluruh negeri lebih peka berkaitan kejadian wabak ini dan meningkatkan saringan malaria di kalangan rakyat tempatan dan warga asing yang datang ke fasiliti kesihatan masing-masing.

“Ini termasuk menjalankan ujian darah bagi mengesan jangkitan malaria. Penduduk juga diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria,” katanya.

JNKT turut menasihatkan orang ramai terutama penduduk Kuala Nerus supaya mengelak berada di luar rumah pada waktu malam, elakkan diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang, tidur dalam kelambu serta mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 9:40am
d