mutakhir

APMM selamatkan empat pemancing

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

EMPAT pemancing termasuk tiga beranak berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka rosak dan terkandas di laut kira-kira dua jam selepas keluar memancing di perairan Pulau Dua, Pulau Pangkor, hari ini.

Difahamkan, semua mereka yang berusia 15 hingga 55 tahun itu sudah sehari di laut dan menyewa bot berkenaan di Kampung Sitiawan untuk memancing.

Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 3 pagi, hari ini.

Pengarah Maritim Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, kejadian berlaku pada 1.40 pagi membabitkan dua lelaki serta dua remaja perempuan berusia 15 dan 18 tahun.

Menurutnya, kesemua mangsa dari Rawang, Selangor dan dua remaja perempuan yang turut berada bot itu adalah anak kepada seorang daripada lelaki berkenaan.

“APMM menerima aduan membabitkan bot memancing berkenaan tidak dapat dihidupkan dipercayai mengalami kerosakan pada enjin dan sedang terapung dalam kegelapan di selatan Pulau Dua.

“Pusat Operasi APMM Perak kemudian mengatur gerak bot Petir 80 ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, pihaknya berjaya menemui bot yang dinaiki empat mangsa berkenaan pada 3 pagi dan mereka berada dalam keadaan selamat.

“Bot kemudiannya ditunda ke Jeti Awam Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut dan selesai merapat di jeti terbabit, 4.50 pagi tadi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan selain memakai jaket keselamatan ketika di laut,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kejadian di laut.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 11:17am
d