mutakhir

'KBS akan ambil tindakan' - Syed Saddiq [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tindakan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menggunakan Jalur Gemilang yang salah ketika upacara pembukaan Piala Lum Mun Chak MABA, sebagai sangat memalukan.

Menurutnya, tindakan menggunakan atau mempamerkan bendera salah adalah tidak melambangkan budaya Malaysia.

“Pertamanya, tindakan mempamerkan bendera salah sangat memalukan dan sama sekali tidak melambangkan budaya Malaysia. Ia sangat memalukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Reben Kuning: PEKA@MRCB di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, hari ini.

Syed Saddiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan siasatan dan tindakan diambil terhadap persatuan itu.

“Kita akan pastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Ditanya wartawan bentuk tindakan yang akan dikenakan terhadap persatuan itu, Syed Saddiq berkata, ia akan melalui proses tertentu sebelum jenis tindakan ditentukan.

“Setiap tindakan ada proses perlu dilalui, tak boleh nampak menteri terus paksa tetapi tindakan akan diambil,” katanya.

Terdahulu, media sosial kecoh selepas MABA menggunakan Jalur Gemilang yang salah dalam upacara pembukaan kejohanan itu di Kuala Lumpur, malam tadi.

Terdapat pelbagai gesaan netizen supaya tindakan tegas dikenakan terhadap persatuan itu kerana didakwa sengaja menggunakan bendera yang salah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis dah panggil Presiden MABA

MABA mohon maaf silap bendera

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 12:59pm
d