mutakhir

Paip pecah siap dibaiki

Oleh Asrol Awang

KERJA-KERJA membaiki paip yang pecah di susur keluar ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, Kuantan, sudah selesai, hari ini.

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu kenyataan memaklumkan paip jenis keluli lembut (MSCL) berdiameter 1000 milimeter yang pecah itu sudah dibaiki sepenuhnya pada 10 pagi.

Sehubungan itu, proses pemulihan bekalan air akan berlangsung secara berperingkat.

“Tempoh pemulihan adalah bergantung kepada lokasi kawasan yang tinggi dan kawasan penghujung sistem agihan premis pelanggan.

“Sasaran pemulihan keseluruhan kawasan adalah pada 12 tengah malam ini. Bantuan lori tangki air akan terus digerakkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan ini amatlah dihargai dan kami mohon maaf atas segala kesulitan.

“Pengguna yang ada sebarang pertanyaan dan aduan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan di talian 09-573 9999,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, lubang sedalam lima meter disebabkan tanah mendap dikesan berlaku di susur keluar ke UIAM.

Kejadian yang disedari kira-kira 7.55 pagi itu dipercayai berpunca daripada paip bawah tanah milik PAIP pecah.

Berikutan itu, sebanyak 25,000 akaun pengguna di daerah ini terjejas ekoran kerja baik pulih paip terbabit.

Kawasan terbabit ialah seluruh kawasan Indera Mahkota 1,2 dan 3, Taman Shahzan, Kampung Tiram, Tiram Aman, Kampung Paya 2, Cenderawasih Persona 4 dan 5, Bukit Setongkol Perdana, Kolej Widad, Taman Bandar, UIAM, Bukit Istana, Alam Perdana, Mahkota Height, Taman Pelindung dan Pelindung Aman.

Turut terjejas ialah kawasan Semambu, Air Putih, Lokap Indera Mahkota, Kompleks Tun Razak (KOMTUR), seluruh kawasan Jalan Sungai Lembing, Kampung Padang, Taman Impian, Bukit Kuin, Bukit Bakong, Batu Sawar, Sungai Riau dan Kubang Puyu.

Berita berkaitan

Paip pecah punca jalan berlubang

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 2:30pm
d