mutakhir

Wang RM3.68 juta Tan Sri Bustari Yusof kini milik kerajaan

Oleh Murni Wan Omar

WANG RM3.68 juta milik ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusof yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dipulangkan kepada kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Menurutnya, SPRM sudah menerima cek berjumlah RM3,683,117.94 dan berikutan itu pihaknya menarik balik permohonan lucut hak terhadap Bustari.

Beliau berkata, pihak pendakwaan sudah diberikan arahan untuk menyahbekukan akaun Bustari.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Bustari memberitahu mahkamah bahawa cek itu sudah diserahkan kepada SPRM semalam.

Oleh itu, mahkamah membatalkan permohonan lucut hak itu.

Allan ketika ditemui berkata, Bustari sebagai responden menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk membayar sejumlah RM3.68 juta itu dan ia diterima.

SPRM sebelum ini memfailkan permohonan lucut hak terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 2:49pm
d