mutakhir

Macam digigit semut jer...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA ingatkan sakit, rupanya seperti digigit semut sahaja,” kata Muaz Ar Razi Shayuti, 5, antara 20 kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana Penjara Marang di perkarangan Penjara Marang di Marang, hari ini.

Muaz berkata, dia teruja menyertai program berkhatan beramai-ramai itu bersama abangnya, Mohd Solahuddin, 8.

“Pengalaman paling seronok ketika disembur dengan air pancut bomba selain diarak ke tempat berkhatan dengan paluan kompang dan bunga mangga.

“Langsung tak sakit, cuma apabila melihat kawan yang terlebih dahulu berkhatan, saya menjadi gemuruh,” katanya.

Turut hadir pada program itu, Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah dan Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff.

Bagi Shayuti Abdullah, 34, dia sudah lama berhasrat mengkhatankan dua anak lelakinya itu serentak.

“Jika diikutkan, dua anak itu ingin dikhatankan lebih awal iaitu dua tahun lalu namun, ditangguhkan kepada sebab tertentu.

“Selagi mereka tidak berkhatan, saya resah dan Alhamdulillah, hari ini semuanya selamat dan saya hanya perlu menjaga mereka dengan sebaik mungkin sehingga sembuh,” katanya.

Menurut Shayuti, dia mewakili ibu bapa berterima kasih kepada Badan Kebajikan Penjara Marang (BKPM) kerana menganjurkan program itu.

“Kos berkhatan kini mencecah RM200 seorang atau lebih, jadi program berkhatan perdana yang diadakan secara percuma ini sangat membantu ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Wan Sani berkata, program yang pertama kali dianjurkan Penjara Marang itu bertujuan meraikan anak-anak kakitangan penjara sekali gus meringankan beban ibu bapa.

“Seramai 20 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun berkhatan pada hari ini dan mereka diraikan dengan paluan kompang sebelum dimandikan dengan air pancut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Program ini akan diteruskan setiap tahun bagi memastikan kebajikan kakitangan penjara sentiasa menjadi keutamaan selain dapat memberi keceriaan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 2:59pm
d