mutakhir

YB... tak boleh merokok di kawasan larangan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

WAKIL rakyat ditegur mematuhi arahan larangan merokok dan tidak menggunakan kedudukan untuk menghalang pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ini kerana terdapat puntung rokok di kawasan tangga di bangunan Wisma Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, Wisma Negeri sudah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

“Ada wakil rakyat merokok dan buang puntung di kawasan tangga bangunan. Ia berlaku ketika persidangan DUN.

“Kita sebagai pemimpin harus jadi contoh kepada orang ramai. Sudah ada banyak papan tanda larangan merokok sekitar bangunan ini.

“Jangan guna kedudukan istimewa sebagai Ahli (Yang) Berhormat untuk tidak benarkan pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Yap Yew Weng (DAP-Mambau) ketika sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Ke-14 di Seremban, hari ini.

Terdahulu, Yew Meng menyatakan ada banyak puntung rokok di kaki lima dan kawasan tangga Wisma Negeri sebelum mengemukakan soalan apakah tindakan yang boleh diambil kerajaan negeri terhadap individu, termasuk wakil rakyat yang merokok di kawasan larangan itu.

Veerapan menegaskan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap wakil rakyat sekiranya didapati merokok di kawasan larangan tanpa mengira pangkat dan jawatan.

Beliau berkata, wakil rakyat harus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 3:25pm
d