mutakhir

LTTE: Tidak aniaya sesiapa - KPN

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS tidak menganiaya 12 individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut memberi jaminan mereka yang ditahan akan dibicarakan secara adil di mahkamah nanti.

Menurut beliau, penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bukanlah kes tahanan tanpa bicara, sebaliknya mereka dibenarkan melantik peguam dan dituduh di mahkamah untuk dibicarakan.

Abdul Hamid memberi reaksi itu bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengenai penahanan dua ADUN terbabit mungkin sebagai membalas dendam kritikan terhadap pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik dalam satu ceramah.

Dalam ceramah itu, Santiago mendakwa SOSMA digunakan untuk menghukum mereka yang mengkritik Dr Zakir yang didakwa mencetuskan ketegangan perkauman di negara ini.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Akta SOSMA selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Abdul Hamid sebelum ini juga dilaporkan berkata, penahanan mereka bagi mencegah cubaan menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau LTTE.

“Kita tahan dan tuduh untuk cegah sebelum kegiatan militan menyerang sehingga keselamatan negara tergugat di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 6:27pm
d