mutakhir

Eddin Syazlee tak sihat, beri jawapan bertulis

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“NANTI saya beri jawapan bertulis,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu menamatkan sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 kementeriannya lebih awal iaitu hanya setengah jam sahaja berbanding tempoh sejam diberikan.

Terdahulu, Eddin ketika sesi penggulungan itu memaklumkan beliau berasa tidak sihat hari ini dan memohon supaya setiap persoalan dibangkitkan ahli Dewan Rakyat diberikan secara jawapan bertulis.

Malah, ketika sesi itu, beliau kelihatan berdepan kesukaran untuk menjawab persoalan dibangkitkan dengan lancar.

“Saya tak berasa sihat dan tak berapa nampak,” katanya.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) turut mencelah dan memberi cadangan supaya Eddin menjawab semua persoalan secara bertulis.

“Yang takde (tiada) dalam dewan bagi jawapan bertulis, tapi nak bagi jawapan bertulis semua pun takpe,” katanya.

Sejurus selepas itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) turut bangun mencelah dan meminta Eddin menjawab isu kesilapan bendera Malaysia ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang Ke-28, di sini semalam.

Bagaimanapun, cubaan Shahidan itu tidak dibenarkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan meminta persoalan itu diberikan secara jawapan bertulis.

“Jawab bertulis...bertulis,” katanya.

Shahidan kemudian mencelah: “Saya doakan Yang Berhormat (YB) sihat walafiat,” katanya.

Pada 11 November lalu, Eddin dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas terduduk secara mengejut dipercayai terlalu penat ketika mendengar perbahasan di Dewan Rakyat.

Eddin duduk secara tiba-tiba ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sedang menjawab soalan tambahan.

Berita berkaitan

'Alhamdulillah, saya selamat tiba...'

'Eddin Syazlee semakin pulih'

'[UPDATE] Eddin Syazlee stabil'

'[UPDATE] Eddin Syazlee dibawa ke IJN'

'Dewan Rakyat: Eddin Syazlee pengsan ketika sesi soal jawab [METROTV]'

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 8:14pm
d