mutakhir

'Mengguris hati kami' - Veteran tentera, polis

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) mengecam tindakan kumpulan yang membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) ke negara ini.

Malah, tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Perak pada 16 September lalu secara senyap-senyap sebelum ditabur di laut berhampiran Lumut serta hutan di banjaran Titiwangsa itu dilihat menghina perjuangan rakyat yang menolak komunis.

Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar berkata, tidak ada sebarang keperluan bagi membawa abu mayat Chin Peng untuk balik ke negara ini berikutan pemimpin komunis itu sendiri memilih untuk menetap dan menjadi rakyat Thailand.

Katanya, tindakan kumpulan yang menyelaras pengurusan membawa pulang abu mayat Chin Peng itu mengguris hati rakyat termasuk pasukan keselamatan.

“Persoalan yang timbul di sini adalah bagaimana abu mayat Chin Peng itu boleh lepas dibawa masuk ke negara ini sedangkan dasar kerajaan sememangnya melarang perkara itu dilakukan.

“Malah, ketika perjanjian peletakan senjata dimeterai antara kerajaan dengan PKM pada 1989, Chin Peng sendiri bersetuju untuk menetap dan menjadi rakyat Thailand sehingga meninggal dunia enam tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sharuddin berkata, beliau tidak melihat sebarang motif penting membawa balik abu mayat Chin Peng melainkan ia propaganda bagi mencabar larangan kerajaan selain cubaan mengiktiraf Chin Peng selaku pemimpin PKM.

“Ketika keganasan komunis dahulu, kekejaman dilakukan mereka tanpa mengira kaum menyebabkan seluruh rakyat bersatu menentang.

“Sebaik berjaya diusir dan PKM dibubarkan, PKM kekal sebagai gerakan yang diharamkan dan tindakan membawa pulang abu mayatnya secara senyap-senyap juga jelas mencerminkan perbuatan pihak terbabit yang tidak menghormati larangan dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden RESPA, Tan Sri Ismail Che Rus berkata, tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng tidak sepatutnya berlaku dan tindakan perlu diambil kepada pihak berkaitan.

“Jika perkara itu benar berlaku, sudah semestinya ia perlu disiasat berikutan ia sudah jelas melanggar larangan dikeluarkan kerajaan sebelum ini.

“Malah, pada pendapat saya tindakan bukan sahaja patut diambil kepada mereka yang membawa masuk abu mayat berkenaan, sebaliknya kepada pihak yang membenarkan ia dibawa masuk sedangkan larangan masih berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu portal berita tempatan, Malaysiakini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013 sudah dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu.

Satu majlis peringatan dihadiri 150 individu turut diadakan pada hari sama abu mayat itu tiba di Ipoh sebelum ditabur di kawasan laut di Lumut dan kawasan hutan di banjaran Titiwangsa.

Berita berkaitan

Abu mayat Chin Peng: KDN siasat

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 8:59pm
d