mutakhir

Bahan kimia tak berbahaya - Exco [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SISA bahan kimia dijumpai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, 20 November lalu, adalah bahan kimia tidak berbahaya dan disyaki sebagai buangan terjadual.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan mendapati 244 tong di lokasi pertama disyaki mengandungi buangan seperti SW 303 (pelekat), SW 321 (getah) dan SW 322 (pelarut organik).

Beliau berkata, di lokasi kedua pula, sebanyak 23 tong ditemui itu mengandungi buangan sama dan dipercayai dilakukan pihak sama.

“Sebanyak 13 sampel diambil daripada tong serta tanah tercemar di lokasi kejadian dan semua sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis komposisi dan kandungan.

“Malah, kami masih menunggu laporan siasatan dan menggesa penduduk setempat untuk tidak bimbang kerana ia (bahan kimia) tidak berbahaya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai perbuatan itu ada kaitan dengan sabotaj, Loy Sian berkata, terdapat kesan sabotaj pada tong dilakukan pihak berkenaan bagi melupuskan bahan bukti.

“Hasil siasatan awal mendapati ada pihak masuk ke kawasan itu dan membocorkan bahan kimia itu supaya ia mengalir keluar.

“Buat masa ini, kami belum tangkap sesiapa dan mengesyaski ada kenderaan yang masuk ke lokasi kejadian menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Beliau berkata, proses pembersihan dijalankan bermula hari ini dan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah melantik Kualiti Alam Sdn Bhd bagi menjalankan kerja pembersihan dan pelupusan semua buangan terjadual di lokasi kejadian.

Semalam, Harian Metro melaporkan ratusan tong berisi bahan kimia ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Rabu lalu namun tidak sempat dilupuskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ia meletup dan terbakar, awal pagi semalam.

Berita berkaitan

'Pening kepala bau asap kimia'

'Bina parit sementara'

'Tak sempat lupuskan tong'

'270 tong bahan kimia terbakar'

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 10:52pm
d