mutakhir

Bendera bintang lima hanya draf sahaja - Pakar sejarah

Oleh Suraya Roslan

BENDERA bintang lima adalah draf dalam fail dan bukan diterima sebagai bendera rasmi Malaysia ketika pertandingan mereka cipta bendera sebelum kemerdekaan.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, rakyat Malaysia perlu mengetahui sejarah sebenar bendera Malaysia kerana bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara dalam mempertahankan maruah, bangsa, agama dan ibu pertiwi.

“Sejarah bendera Malaysia bermula pada 29 November 1949 apabila Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan bakal dibentuk.

“Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948, seramai 373 karyawan mengambil bahagian dan melalui proses pemilihan serta pertimbangan dan pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk dipilih ke peringkat akhir.

“Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang dan yang ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertandingan itu, rekaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah mendapat undian majoriti dan perkenan Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Katanya, bagaimanapun, reka bentuk bendera berkenaan dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja.

“Jadi tidak timbul isu bendera bintang lima pernah menjadi bendera rasmi Malaysia, ia hanyalah draf dalam fail dan tidak diterima ketika itu.

“Apapun alasan diberikan pihak penganjur berhubung kesilapan itu tidak boleh diterima dan bersifat kurang ajar.

“Sebagai rakyat Malaysia tidak kira kaum dan bangsa, kita wajib tahu mengenai bendera negara sendiri. Tidak ada isu kesilapan kerana bendera adalah simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara.

“Walaupun bendera hanya satu kain namun maknanya sangat besar kepada kita, inilah identiti sesebuah negara," katanya.

Sehubungan itu, Dr Ramlah berharap penganjur disiasat polis kerana tindakan dilakukan jelas satu pengkhianatan kepada negara.

Hari ini, polis sudah memanggil Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi menjelaskan insiden kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang lima ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang ke-28 di Stadium Bola Keranjang, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, MABA menerusi satu kenyataan memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan berkenaan ketika Jalur Gemilang dengan bintang lima itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 11:51pm
d