mutakhir

Mula bangunkan Kampung Baru Jun depan [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“KALAU semua setuju, Insya-Allah, Jun 2020 kita mulakan projek pembangunan Kampung Baru,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau memberi jaminan itu kepada lebih 300 pewaris dan pemilik tanah pada Sesi Penerangan Tawaran Terbaru Kerajaan kepada pemilik dan pewaris berkenaan pembangunan semula Kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, yang diadakan kali keempat.

Katanya, setakat ini kerajaan akan menunggu sehingga Sabtu ini untuk mendapatkan maklum balas terbuka, seperti diterangkan dalam sesi pada September lalu sebelum menukar kepada pendekatan lain bagi membolehkan pembangunan dimulakan.

“Sehingga 25 November lalu, seramai 1,882 atau 35.12 peratus daripada 5,359 pemilik tanah berdaftar sudah mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,773 sudah bersetuju hartanah mereka dibangunkan semula oleh kerajaan, manakala 106 lagi tidak bersetuju menyebabkan kerajaan menerusi Perbadanan Kampung Baru berterusan mengadakan sesi Town Hall seperti itu.

“Kita tunggu sehingga Mac atau April atau selepas raya sebagai tarikh akhir, selepas itu barulah kita akan gunakan pendekatan fokus kepada kelompok kecil, bukan lagi dengan cara memberi taklimat secara besar-besaran,” katanya ketika ditemui media.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan.

Khalid berkata, fasa selepas ini ialah mengenalpasti penama berdasarkan lot dan jika 80 peratus daripadanya bersetuju, pembangunan akan dimulakan.

“Jika kita sudah mendapat persetujuan 80 peratus penama atau waris dalam setiap lot, kerajaan akan terus membeli tanah itu.

“Tidak adil jika hanya seorang daripada 10 waris yang tidak bersetuju, tanah itu tidak boleh dimajukan. Katakan ada 40 nama dan 80 peratus daripadanya bersetuju, maka kita (kerajaan) akan beli. Selebihnya kita akan tengok bagaimana.

“Sebab itu, kami sarankan supaya isu waris ini diselesaikan secara baik dan kerajaan akan bantu,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut berkongsi kepada hadirin majlis itu bahawa Daim turut memiliki tanah di Kampung Baru dan perlu bersetuju untuk menjualnya serta menyokong pembangunan semula seperti dirancang.

Ditanya mengenainya, Daim menjawab ringkas kepada media sebelum meninggalkan majlis.

“Itu bukan tanah saya, tanah keluarga,” katanya yang turut enggan mengulas mengenai sesi penerangan itu.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 12:42am
d