mutakhir

1.2 tan ketum kena rampas

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

CAMERON HIGHLANDS: Polis merampas 1.2 tan daun ketum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui Kelantan dalam dua serbuan berasingan kelmarin.

Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotin (BSJN) Cameron Highlands bermula jam 3 hingga jam 7 pagi itu berjaya menemui semua daun berkenaan daripada dua kenderaan pacuan empat roda di Blue Valley, Kampung Raja di sini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam dua serbuan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 38 dan 42 tahun yang masing-masing memandu Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton.

“Serbuan pertama, polis menahan Toyota Hilux dan pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui plastik hitam mengandungi daun disyaki ketum dianggarkan seberat 618 kilogram (kg).

“Manakala dalam serbuan kedua, polis menemui 50 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 602kg dalam Mitsubishi Triton sebelum menahan kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ashari berkata, ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah methamphetamine.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mendapatkan bekalan daun ketum ini dari negeri di utara tanah air. Polis percaya laluan ini digunakan untuk menyeludup daun ini ke negara jiran melalui Kelantan.

“Daun ketum mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan boleh dijual RM60 hingga RM80 sekilogram,” katanya.

Ashari berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Cameron Highlands manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 5:50am
d