mutakhir

Kempunan nak miliki tanah

Oleh Shahrinnahar Latib

SUDAHLAH hasrat memiliki enam hektar tanah tidak kesampaian, malah seorang warga emas turut kerugian RM26,500 selepas ditipu dua lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula Julai lalu apabila mangsa wanita berusia 72 tahun bertemu seorang suspek di sebuah restoran di Kuantan.

“Mangsa berjumpa suspek untuk urusan permohonan mendapatkan tanah tol di Kampung Sepat dengan keluasan enam hektar secara keseluruhan.

“Suspek mendakwa sebagai orang tengah sebelum memperkenalkan mangsa kepada seorang broker tanah,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bersetuju dengan tawaran suspek untuk pembelian tanah seluas enam hektar dengan harga RM50,000.

“Bermula awal Julai, pengadu membuat bayaran secara berperingkat menjadikan jumlah keseluruhan RM26,500 secara tunai kepada kedua-dua suspek untuk urusan permohonan mendapatkan tanah.

“Baki bayaran perlu dibuat selepas mangsa menerima tanah berkenaan. Mangsa dijanjikan akan menerima tanah berkenaan dalam tempoh dua minggu selepas bayaran dibuat,” katanya.

Beliau berkata, namun sehingga kini mangsa masih belum menerima tanah berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 10:46am
d