mutakhir

Isu anjing liar: Utamakan keselamatan awam

Oleh Hasbi Sidek

ISU anjing liar mendapat perhatian ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ketika Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14, hari ini.

Soalan asal ditanya Mary Josephine Prittam Singh (PH- Rahang) yang meminta kerajaan negeri memberikan alasan mengenai kelewatan menyelesaikan isu yang turut menyentuh sensitiviti pencinta haiwan itu.

Soalan itu dijawab Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru, Teo Kok Seong yang menyatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyesuaikan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Majlis Perbandaran Seremban (MPS) perlu sesuaikan tindakan penguatkuasaan mengikut prosedur yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan penangkapan dan pelupusan anjing terbiar.

“Piagam pelanggan urus aduan di MPS akan ambil tindakan dalam tempoh tiga hari selepas aduan diterima. Operasi anjing terbiar dijalankan setiap hari mengikut kawasan aduan yang diterima dari orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, Mary Josephine bertanyakan soalan tambahan, sebelum Datuk Abdul Rahman Mohd Redza (BN-Linggi), Abdul Razak Said (BN-Gemas), Datuk Abdul Samad Ibrahim (BN-Seri Menanti) dan L Manickam (BN-Jeram Padang) bangun mencelah dengan bertanyakan beberapa soalan mengenai isu anjing liar.

Menjawab soalan tambahan lima Adun itu, Teo berkata, kerajaan negeri mengutamakan keselamatan awam daripada ancaman anjing liar, namun dalam masa sama perlu menjaga sensitiviti isu penganiayaan haiwan itu.

“Pihak PBT menghadapi cabaran dalam mengutamakan keselamatan awam dan menjaga sensitiviti penganiayaan haiwan. PBT sudah menjalankan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan bagi menyelesaikan isu anjing liar ini.

“Anjing ditangkap oleh pihak PBT dan akan diuruskan oleh NGO. Bagi menyelesaikan isu pembiakan anjing, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan syarat kepada pemilik untuk memandulkan anjing masing-masing seperti yang dilakukan di luar negara.

“Namun, perkara mengambil masa untuk dilaksanakan. Untuk menyelesaikan isu ini, bukan hanya PBT dan NGO sahaja perlu mengambil tindakan, namun orang awam juga perlu diberi pendidikan,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 12:29pm
d