mutakhir

'Tak perlu rujuk sejarah, mata jadi saksi'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BAGI saya (isu bawa balik abu Chin Peng)...rasa nak menangis,” luahan Ramli Mohd Noor (BN-Cameron Highlands).

Ramli yang bangun mencelah ketika perbahasan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengakui cukup terkesan dengan isu berkenaan sehingga tidak mampu menahan sebak.

“Sebagai bekas pegawai polis..apakah perasaan (personal) peribadi Santubong apabila melihat abu mayat Chin Peng...kepala mayat komunis dibawa balik ke negara kita.

“Saya rasa nak menangis,” katanya sambil menahan sebak dan mengusap dada tanya sedih.

Selepas itu, Wan Junaidi turut berkongsi rasa emosinya termasuk pengalamannya berada dalam hutan selama lima tahun menentang komunis.

“Saya baru berumur 24 tahun..masuk hutan, lima tahun dalam hutan..saya membesar dalam hutan. Jadi saya melihat bagaimana kawan mati dan melihat orang awam mati dibunuh.

“Tak payah baca sejarah..saya sendiri lihat. Kita rasa sedih ada pihak yang hendak mendewa-dewakan perjuangan komunis dan mendewakan ketua perjuangan komunis ini yang membawa satu gegaran di negara ini,” katanya.

Isu bawa balik abu mayat Chin Peng menarik perhatian sidang Dewan Rakyat pagi ini khususnya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pertahanan, pagi ini.

Pada sesi perbahasan sama, pandangan peribadi M Karupaiya (PH-Padang Serai) juga menggamatkan dewan apabila beliau secara peribadi menyokong usaha berkenaan.

Sebelum itu, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangun mencelah perbahasan Karupaiya.

“Saya nak tanya Padang Serai...Padang Serai setuju ke abu mayat Chin Peng dibawa balik?,” soalnya.

Karupaiya kemudian menjawab dengan menyatakan abu itu tidak ada masalah dan sudah berakhir.

“Kalau kita bawa pun tak bermakna pada kita. Kita sebagai rakyat Malaysia, kita hormati walau dia musuh... kita bagi penghormatan sebab dia lahir di negara kita. Itu sahaja,” katanya.

Kenyataan itu mendapat perhatian ahli dewan yang kecewa dengan pandangan ahli parlimen terbabit.

Datuk Alexandar Nanta Linggi (GPS-Kapit) bangun dan meluahkan rasa kecewanya.

“Padang Serai tak sensitif ker...berapa banyak nyawa terkorban,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kemudian mengingatkan ahli dewan supaya bertenang.

“Saya ingin ingatkan semua..ini perbahasan peringkat jawatankuasa khusus kepada butiran. Kalau nak dengar sejarah kita cari forum lain ya,” katanya.

Shamsul kemudian mencelah dan turut kecewa dengan kenyataan Karupaiya.

“Sia-sia sahaja Padang Serai jadi tentera itu hari,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 1:28pm
d