mutakhir

3 beradik daif bakal dapat rumah

Oleh Ramli Ibrahim

TIGA beradik yang hidup dalam keadaan serba kekurangan di Kampung Mentara Lama di Gua Musang, bakal mendapat bantuan rumah dalam masa terdekat.

Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd Kasim, 19, bersama adiknya, Siti Noraini Ahmad, 14, dan Siti Norasniza, 9, mendapat bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, rumah itu akan dibina MAIK di Kampung Tanah Puteh yang lengkap dengan kemudahan elektrik dan air bersih.

Katanya, bantuan untuk tiga beradik itu diberi selepas berbincang dengan MAIK yang meneliti kelayakan mereka.

“MAIK meluluskan segera bantuan rumah itu supaya tiga beradik berkenaan dapat memulakan kehidupan baharu demi masa depan mereka.

“Syukur Alhamdulillah, mereka boleh berpindah ke rumah yang disediakan MAIK itu dalam masa terdekat, selepas selesai proses pemasangan elektrik dan penyaluran air bersih,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Utama, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mohamad Syahadam Abdul Talib yang juga abang sulung terpaksa menjadi ketua keluarga dengan menjaga dua adiknya, Siti Noraini Ahmad, 14, dan Siti Norasniza, 9.

Siti Noraini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Wangi Gua Musang, manakala Siti Norasniza belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya Gua Musang.

Bapa mereka, Ahmad Yaacob, 48, meninggal dunia Jun lalu kerana sakit jantung, manakala ibunya, Rubiah Zakaria, 38, meninggal dunia September lalu kerana derita kencing manis.

Kisah tiga beradik itu juga menarik perhatian masyarakat seluruh negara selepas tular di media sosial dan pelbagai pihak membantu, termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Berita berkaitan

Ranjau tiga beradik

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 3:23pm
d