mutakhir

Sewa pejabat jadi pusat judi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA puluh warga China termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di bangunan pejabat dijadikan sebagai pusat judi dalam talian di Jalan Simfoni, Balakong, Kuala Lumpur, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan pada 2 petang itu dilakukan lima pegawai dan 20 anggota.

“Kami menahan 20 individu warga China berusia antara 20-an hingga 30-an yang bekerja sebagai pengendali laman sesawang judi dalam talian.

“Kami turut merampas 22 komputer riba, 64 telefon bimbit dan wang tunai RM6,990 dalam serbuan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Azmi berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua minggu lalu dengan menyasarkan pelanggan dari China melalui promosi dilakukan menerusi aplikasi WeChat.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan bangunan pejabat baharu sebagai pusat operasi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis dijadikan sebagai pusat ini disewa sindiket pada harga RM10,000 sebulan.

“Pengendali pusat judi dalam talian itu ditawarkan gaji antara RM4,500 hingga RM5,000 sebulan selain pemberian komisen bergantung kepada jumlah pertaruhan dan pelanggan.

“Pemeriksaan mendapati semua suspek itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan kami mengesyaki dokumen itu dipegang ejen mereka.

“Hasil soal siasat mendapati semua suspek bekerja selama 12 jam setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan mereka ditempatkan di unit kondominium berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini jumlah keseluruhan pertaruhan diraih sindiket itu masih dalam siasatan.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(G) akta sama.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 11:14pm
d