mutakhir

Sempat lunas bakti untuk papa

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: “Saya rasa bertuah kerana berada di samping papa sebelum papa menghembuskan nafas terakhirnya,” kata Irfan Rafiqin Hambali, 25, anak kepada Hambali Abdul Latiff, 65.

Irfan Rafiqin yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu ditemui selepas pengebumian Allahyarham bapanya yang juga bekas wartawan Harian Metro (HM) dan Berita Harian (BH) di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara jam 10.30 pagi, semalam.

Irfan Rafiqin berkata, keputusan berhenti kerja dan tinggal bersama bapanya sejak 23 Disember tahun lalu keputusan tepat kerana berpeluang berbakti dan menjaga bapanya sehingga ke nafas terakhir.

“Sepanjang setahun, banyak kenangan manis kami lakukan bersama termasuk menonton perlawanan bola sepak, selain kenangan terakhir ke pasar malam Ahad lalu dan membeli pelbagai jenis makanan digemari arwah.

“Jika diikutkan malam tadi (semalam), papa ingin menonton perlawanan bola sepak jam 3 pagi, tetapi papa mengalami cirit-birit teruk sehingga tidak dapat menonton perlawanan itu.

“Saya sempat membersihkan badan papa dan meletakkan papa di kerusi kegemarannya sebelum papa tiba-tiba mendapat serangan jantung dan meninggal dunia.

“Saya cuba beri bantuan pernafasan, tetapi gagal menyelamatkan papa dan kakitangan perubatan yang datang memberikan bantuan selepas itu mengesahkan papa sudah tiada,” katanya.

Allahyarham Hambali juga bekas Pegawai Penyelidik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum menjawat jawatan Pengurus Besar Manis FM dan pernah menyandang jawatan Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering di sini, jam 4.30 pagi.

Difahamkan arwah meninggal dunia akibat serangan jantung selain turut menghidap penyakit kronik lain seperti darah tinggi, kencing manis dan batu karang.

Allahyarham meninggalkan lima anak berusia 20 hingga 33 tahun hasil perkahwinannya dengan dua bekas isteri iaitu Normah Chik, 60, dan Suhana Abdullah Syukur, 53.

Allahyarham pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wartawan BH pertama memenangi Anugerah Kajai pada 1983.

Anugerah itu diterima melalui laporannya berjudul Meninjau Kehidupan dan Masalah Pekan Koboi di Rengit. Anugerah Kajai ialah anugerah tertinggi dalam senarai anugerah tahunan Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 6:01am
d