mutakhir

Dituduh rogol anak saudara OKU

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BAPA lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan objek dan merogol anak saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Tertuduh berusia 39 tahun dan tidak bekerja itu membuat pengakuan itu ketika empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seks dengan objek terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun di sebuah rumah di Marang jam 9.30 malam pada hujung November 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) KK apabila didakwa merogol mangsa di alamat sama dalam tiga kejadian berasingan pada hujung November 2017.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 6:28pm
d