mutakhir

Hayati cara kerja mereka

Oleh BERNAMA

SEOUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru diaspora Malaysia di Korea Selatan mencontohi etika kerja dan ciri-ciri positif negara itu serta menimba ilmu termasuk memanfaatkan teknologi canggih negara itu.

“Apa yang kita mahu adalah rakyat Malaysia datang ke sini dan belajar bagaimana boleh maju dengan cepat. Hayati cara orang Korea bekerja dan etika kerja mereka,” katanya pada jamuan malam bersama 200 rakyat Malaysia di Seoul sempena majlis Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini.

Perdana Menteri berkata, ilmu tanpa nilai murni boleh membahayakan, tetapi memupuk etika dalam kehidupan harian termasuk kerja membuktikan manfaat bagi kebaikan manusia sejagat.

Beliau berkata, Korea Selatan sebelum ini ketinggalan dari segi pembangunan dengan Malaysia, bahkan mereka datang ke negara Asia Tenggara untuk menimba ilmu pada zaman kegemilangannya.

“Hari ini mereka jauh meninggalkan kita. Kini sudah mencapai pendapatan perkapita AS$30,000 setahun. Ini kemajuan menakjubkan. Dahulu mereka ada satu kereta sahaja iaitu Hyundai Pony. Orang ketawa bila mereka kata nak eksport. Kini mereka menjual (kereta) di serata dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Korea Selatan berjaya melaksanakan pelan pembangunan yang menyaksikan ia dipacu dari negara yang dilanda perang kepada negara maju.

Beliau mengulas bagaimana Korea Selatan membina semula negara mereka dengan pemesatan bandar akibat industri pembinaan kapal dan bagaimana mereka kini menghasilkan pesawat pejuang.

“Mereka mempunyai strategi berbeza daripada kita, kita hanya perlu belajar bagaimana mahu maju dengan cepat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sebelum ini bertemu ramai rakyat Malaysia yang bekerja dengan Gas Asli Cecair Terapung Kedua (PFLNG Dua) Petronas di Geoje dan ia membuktikan rakyat Malaysia berdaya tahan walaupun berdepan cuaca sejuk yang melampau.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan diaspora untuk kembali berkhidmat di tanah air.

“Sekiranya anda boleh mencari kerja di tempat lain biar lakukan, tetapi jangan tinggal terlalu lama sebagai diaspora. Janganlah jadi diaspora sampai bila-bila. Baliklah. Malaysia adalah tempat anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menarik banyak syarikat berteknologi tinggi melabur di Malaysia sebagai langkah menyediakan pekerjaan bernilai tinggi secara menyeluruh dalam rantaian.

Beliau meluangkan masa menjawab beberapa soalan hadirin dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang bertindak sebagai moderator.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking serta Duta Malaysia di Korea, Datuk Mohd Ashri Muda.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam lawatan rasmi ke Seoul dari 27 dan 28 November selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Korea Selatan 2019 di Busan yang berakhir Selasa.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 5:40am
d