mutakhir

'Babi jinak' masuk kawasan perumahan

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

TINDAKAN segelintir penduduk memberi makan kepada babi hutan di Bukit Ketumbar, Cheras, di Kuala Lumpur, menyebabkan haiwan itu mula memasuki di sekitar kawasan perumahan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, populasi babi di bukit itu terlalu banyak, namun ia tidak menyerang atau agresif.

Bagaimanapun, apabila segelintir penduduk bertindak memberi makan kepada haiwan itu menyebabkan babi ini keluar dari bukit berkenaan dan mendekati kawasan perumahan secara langsung mengundang keresahan masyarakat terutamanya yang beragama Islam selain yang mempunyai anak kecil.

Penduduk, Arsiyoh Mamat, 56, berkata, populasi babi hutan di bukit itu sememangnya banyak sejak dulu lagi dan boleh dianggarkan mencecah ratusan ekor, namun ia tidak pernah menyerang penduduk.

“Sekitar tahun 90-an, saya mendirikan rumah secara haram di bawah bukit itu dan sudah biasa dengan kehadirannya kerana di sana adalah habitatnya.

“Pada 2001 saya berpindah menduduki Flat Cheras Ria, selepas rumah didiami ketika itu dirobohkan pihak berkuasa.

“Senario babi di sekitar kawasan ini adalah biasa buat kami cuma apabila ada yang bertindak memberi makan menyebabkan haiwan itu mula memasuki kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, babi berkenaan perlu dibiarkan hidup di bukit itu yang mana adalah lokasi habitatnya dan dibiarkan hidup dengan cara kehidupan haiwan itu sendiri.

“Namun apabila ada dalam kalangan penduduk yang memberi makan berdekatan kawasan perumahan adalah tidak wajar.

“Ini secara langsung kita mengubah cara haiwan ini mencari makan dan seolah-olah kita seperti menjaga atau membelanya,” katanya.

Pendaki Bukit Ketumbar yang ingin dikenali sebagai Lee, 32, berkata, setiap hari terdapat lebih 30 orang mendaki di bukit berkenaan.

“Setiap minggu saya juga pasti akan beriadah di situ yang mana babi hutan di bukit ini jinak dan tidak pernah menyerang walaupun lalu bersebelahan kami.

“Di sini, adalah habitatnya dan biarlah haiwan ini hidup di situ selain sumber makanan di bukit itu, banyak buat haiwan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penduduk Cheras Ria, semalam, selepas menerima aduan mengenai isu babi yang memasuki kawasan perumahan.

“Punca kehadiran babi di kawasan itu disebabkan ada kalangan penduduk yang memberi makan secara langsung menarik perhatian babi ini.

“Dengan itu, kita menasihati penduduk agar tidak memberi makanan kepada haiwan itu di kawasan perumahan selain akan menaikkan papan tanda serta kain rentang sebagai memperingati mereka.

“Jika masih terdapat babi ini terus memasuki kawasan perumahan langkah terakhir kita terpaksa menembak dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial terdapat individu yang memberi makan pada babi itu secara langsung mengundang kebimbangan penduduk.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 8:37am
d