mutakhir

Detik hitam dua beradik

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA beradik lelaki masing-masing berusia 13 dan 15 tahun berdepan detik hitam selepas mendakwa menjadi mangsa liwat seorang lelaki gila seks di Kuala Terengganu.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 30-an itu terbongkar selepas kedua-dua mangsa membuat laporan polis selepas tidak tahan menjadi tempat pemuas nafsu songsang suspek sebelum menceritakan kejadian itu kepada bapa saudara mereka.

Menurut sumber, laporan polis terlebih dahulu dibuat mangsa berusia 13 tahun pada Isnin lalu, sebelum abangnya berusia 15 tahun turut membuat laporan sama pada Selasa.

Katanya, siasatan mendapati kejadian menimpa mangsa berusia 13 tahun dipercayai bermula sejak 2012, manakala abangnya pula menjadi mangsa sejak 2014.

“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah stor yang menjadi tempat suspek menyimpan barang-barangnya dan kejadian dipercayai berlarutan sehingga kini.

“Dua mangsa sebelum ini merahsiakan perbuatan suspek kerana pernah diugut selain pernah ditumbuk.

“Malah, suspek juga ada memberikan wang sebagai upah selepas melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

“Selain tidak sanggup berterusan menjadi mangsa, difahamkan remaja berusia 13 tahun itu membuat laporan kerana bimbang adik lelakinya yang berusia lapan tahun menerima nasib sepertinya kerana suspek ada meminta mangsa menyuruh adiknya ke stor berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, suspek kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 9:48am
d