mutakhir

Paras Sungai Golok meningkat

Oleh Syaherah Mustafa

PARAS air Sungai Golok menunjukkan peningkatan apabila melebihi paras berjaga-jaga akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 9.15 pagi ini, paras air sungai terbabit mencecah 7.46 meter (m) yang mana semakin hampir dengan paras amaran iaitu 8 m.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, paras air di Sungai Golok, Tanah Merah, juga meningkat dengan bacaan 22.16 m dan hampir ke paras amaran 22.50 m.

Katanya, peningkatan paras air sungai berlaku akibat hujan lebat di Jenob dan Bukit Bunga, Tanah Merah serta Jeli. Manakala sederhana lebat di sekitar Rantau Panjang, namun disebabkan aliran yang sama menyebabkan air sungai Golok di sini, turut bertambah.

“Sungai Golok paras air berjaga-jaga ialah 7 m, manakala paras amaran 8 m dan bahaya 9 m. Biasanya jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4 m, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

“Setakat ini air sungai menunjukkan peningkatan sejak awal pagi tadi dan pihak bomba sentiasa bersedia selain terus merujuk kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti paras semasa air sungai.

“Rondaan serta pemantauan juga dilakukan lebih kerap bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Imran berkata, pihak bomba sudah bersedia dengan kelengkapan logistik dan keanggotaan bagi menghadapi fenomena Monson Timur Laut itu.

“Namun saya menasihatkan penduduk untuk sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal mengemas dan menyimpan dokumen penting bagi menghadapi banjir terutama di kawasan rendah.

“Keadaan cuaca yang mendung dan hujan lebat tanpa henti boleh meningkatkan lagi paras air sungai menyebabkan ia boleh melimpah dan banjir pada bila-bila masa,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 11:06am
d