mutakhir

Cadang jual produk tempatan di Olimpik Tokyo

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN bercadang mewujudkan ‘Malaysia Street’ yang akan mempamer dan menjual pelbagai produk tempatan di Perkampungan Atlit Temasya Olimpik Tokyo 2020, Jepun, dalam usaha mempromosikan produk tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kawasan itu dijangkakan akan dikunjungi kira-kira 40 juta orang dan kerajaan bersedia menyediakan dana bagi membantu usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing di kawasan itu.

“Kami masih di peringkat perbincangan, namun yakin ia dapat direalisasikan. Malaysia Street itu akan berlangsung selama dua bulan sepanjang Temasya Olimpik dan kami mensasarkan usahawan berpengalaman untuk mengambil bahagian atas beberapa faktor.

“Antara faktornya adalah mereka boleh membimbing usahawan yang baru mengambil bahagian dan ia penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) Ke-4 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Zazali Haron dan Timbalan Presiden ANGKASA Merangkap Ahli Lembaga International Co-operative Alliance (ICA), Datuk Kamarudin Ismail.

Pada majlis sama, Mohd Redzuan menyaksikan pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA dan Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFCCO) yang akan bekerjasama dalam bidang pertanian terutama pemindahan teknologi pertanian dan meluaskan rangkaian pemasaran.

Selain itu, Mohd Redzuan menyaksikan pertukaran Dokumen Perjanjian antara Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad (KO-BEST) dan RedONE Network Sdn Bhd bagi melahirkan 10,000 usahawan menjelang 2021.

Mohd Redzuan berkata, Malaysia mempunyai ekosistem yang terbukti berkesan malah industri Halal Malaysia diyakini di seluruh Malaysia menyebabkan pihaknya yakin mampu membawa usahawan ke luar negara.

Katanya, menerusi pameran yang diadakan kepada pengimport dari Jepun selama tiga hari di Kuala Lumpur, pihaknya berjaya mengumpul lebih RM140 juta jualan dan yakin Malaysia Street mampu memperoleh hasil sebanyak USD 300 juta.

“Ia rentetan kejayaan usahasama industri Halal antara Malaysia dan Jepun yang diadakan baru-baru ini. Jadi kami yakin, cadangan ini boleh direalisasikan.

“Sehingga kini, ramai usahawan sudah memohon untuk mengambil bahagian dan kami perlu memilih mereka yang benar-benar layak bagi memastikan usaha mengetengahkan produk tempatan ke luar negara mencapai sasaran,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Redzuan berkata, koperasi perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan tanah milik kerajaan yang terbiar terutama dalam bidang pertanian.

Menurutnya, negara mengimport pelbagai sayur-sayuran bernilai RM60 bilion setahun sekali gus membuktikan ia satu bidang yang mempunyai permintaan tinggi.

“Koperasi menerusi ANGKASA perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencari tanah milik kerajaan yang terbiar dan memajaknya untuk tujuan pertanian.

“Dengan cara ini, koperasi bukan sahaja dapat menambah hasil menerusi pertanian malah membantu kerajaan menstabilkan harga barangan sekali gus menjimatkan perbelanjaan penduduk,” katanya.

MACCOPS disertai 180 agensi kerajaan, syarikat swasta serta koperasi tempatan dan luar negara termasuk dari Filipina, Singapura, Indonesia, Brunei, Indonesia, Thailand, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, India, China, Fiji, Jordan, Kiribati, Korea, Laos, Nepal dan Papua New Guinea yang berpotensi meraih sasaran dagangan ke hadapan bernilai RM200 juta.

Sepanjang karnival berlangsung, MACCOPS 2019 dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 11:41am
d