mutakhir

MySeafood promosi produk perikanan, makanan laut

Oleh Mohamad Hussin

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi fokus utama MySeafood bagi memberi peluang dan platform untuk mempromosikan produk perikanan dan makanan laut negara ini ke pasaran antarabangsa sekali gus dapat meningkatkan nilai eksport perikanan.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, MySeafood dapat memberi impak yang besar kepada jumlah penyertaan dan pembabitan usahawan perikanan tempatan serta menggalakkan peluang pelaburan.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas pasaran produk makanan dan minuman industri perikanan di luar negara dari segi pembungkusan, spesifikasi produk, harga pasaran, peraturan import dan eksport termasuk standard piawaian yang diguna pakai.

“Fokus utama kita selari dengan hasrat iaitu ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita kerana industri perikanan adalah penyumbang utama sumber protein kepada rakyat ini,” katanya selepas melancarkan MySeafood sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Paviliion MySe, di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM Raja Kahalid Raja Ariffin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Untong Keri.

Muhammad Faiz berkata, MySE 2019 kali ini menampilkan gabungan keunikan makanan laut dan seni masakan dengan membawakan konsep dari Dapur MySeafood selain demonstrasi serta program masakan berasaskan makanan laut.

“Pameran kepelbagaian hidupan laut seperti makanan laut satu komponen yang diperbaharui dalam MySeafood di mana pengunjung berpeluang mengenali beberapa spesies hidupan laut yang besar dan jarang dilihat.

“MySeafood juga akan mempamerkan beberapa spesies ikan seperti ikan bayan, ikan merah, ikan kerapu bara dan ikan kunyit-kunyit. Tidak ketinggalan, pengunjung juga boleh mengenali pelbagai spesies ketam, udang dan sotong.

“Kita juga membawa kelainan dengan mempamerkan ikan tuna seberat hampir 40 kilogram (kg) yang dibawa khas dari sabah serta pameran hub kerang-kerangan yang terdapat di perairan negara dan sudut informasi hub kupang antara idea baharu yang bakal menggamit pengunjung,” katanya.

Menurutnya, antara tarikan baharu dan bakal menarik pengunjung ialah pameran belangkas hidup dengan konsep sentuhan kolam serta pameran replika bot dan simulasi bot 2.0 di mana pengunjung merasai sendiri pengalaman mengawal bot, mencuba sendiri simulasi bot yang akan memberikan pengalaman seperti memandu bot sebenar.

“Turut diadakan realiti maya di mana pengunjung merasai pengalaman berada di Kompleks LKIM secara virtual. Mereka juga dapat merasai pengalaman sebagai nelayan serta mengetahui kemudahan infrastruktur yang terdapat di kompleks LKIM melalui platform teknologi yang disediakan.

“Penggunaan teknologi bukan hanya terhad di daratan seperti ‘remote sensing’ kerana ia membantu nelayan untuk mengesan kawasan dan sumber ikan. Pemantauan ke atas vesel laut pantai (Zon A, B dan C) juga boleh dibuat bagi memastikan pendaratan sumber perikanan dengan penggunaan alat Automatic Identification System (AIS) yang dipasang di atas vesel.

“Alatan ini mampu mengesan kedudukan vesel selain membantu nelayan untuk tidak mencerobohi kawasan tangkapan mengikut zon yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, selain itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya demonstrasi gubahan kulit kerang serta pameran dan jualan produk makanan dan minuman berasakan perikanan seperti keropok lekor, rumpai laut dan sebagainya.

“Aktiviti kanak-kanak seperti pertandingan mewarna kanak-kanak persembahan zapin anak nelayan serta ghazal. Pertandingan terbuka kepada pengunjung seperti lekor roll, kopek kerang rebus menggunakan sebelah tangan, membungkus pepes, makan sata dan otak-otak serta pertandingan memasak QFish.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 12:01pm
d