mutakhir

Bekas Ketua AMK Ampang dibenarkan tangguh hukuman

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam bulan yang dikenakan terhadapnya.

Hukuman itu atas kesalahan Adam memberi kenyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak.

Mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguh sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ahmad Shahrir juga dalam keputusannya memerintahkan Adam Rosly membayar ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin.

Selain itu, terdapat syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh iaitu dia perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala Adam Rosly diwakili Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir.

Pada 25 November lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Adam Rosly untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam bulan serta denda RM30,000 yang dikenakan terhadapnya.

Adam Rosly merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 selepas mendapati dia bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada along sebanyak RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua serta neneknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya antara 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Februari 2017 dan antara 9 pagi hingga 2 petang, 22 Februari 2017.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 5:01pm
d