mutakhir

Sisa tumpahan minyak dibersihkan

Oleh Adnan Ibrahim

TALI air di ladang kelapa sawit di Felda Ulu Belitong di Kluang yang tercemar akibat tumpahan sisa minyak kelapa sawit pagi semalam sudah dibersihkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan kilang.

Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang, Mohd Aznor Lamat berkata, hasil siasatan mendapati pengurusan kilang serta ladang sudah mengarahkan pekerjanya membuat kerja pembersihan dan ia selesai sepenuhnya petang semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati kejadian berlaku apabila lori yang membawa muatan sisa minyak sawit berkenaan terbabit dalam kemalangan menyebabkan kenderaan itu terbalik.

“Pihak JAS juga sudah mengeluarkan notis kepada pihak pengurusan kilang untuk menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan tidak berlaku sebarang pencemaran akibat daripada tumpahan ini.

“Kita juga berharap kejadian seperti ini tidak berulang dan pihak pengurusan kilang perlu sentiasa berhati-hati ketika membuat pemindahan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Mohd Aznor berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tumpahan kira-kira 30 tan sisa minyak kelapa sawit di Ladang Felda Ulu Belitong, jam 10 pagi semalam.

Dalam pada itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Ali, 40, amat berterima kasih atas keprihatinan pihak pengurusan kilang dan ladang yang bertindak pantas mengatasi masalah tumpahan minyak berkenaan.

“Penduduk di sini serta Felda Bukit Tongkat dan Felda Ulu Penggeli juga akan terkesan akibat kejadian seperti ini.

“Justeru, pihak pengurusan kilang perlu mengutamakan keselamatan di dalam kerja memindahkan sisa minyak itu,” katanya.

Semalam, sebuah lori tangki membawa muatan sisa minyak kelapa sawit terbalik selepas terbabit dalam kemalangan menyebabkan tumpahan di beberapa tali air di dalam ladang FELDA Ulu Belitong.

Berita berkaitan

Tali air bertukar warna

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 5:09pm
d