mutakhir

Hentikan kekejaman!!!

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengambil tindakan signifikan dalam konteks advokasi berhubung siri kezaliman, kekejaman dan jenayah perang oleh rejim Israel terhadap warga Palestin.

Perkara itu dinyatakan menerusi Memorandum Mendukung Perjuangan Palestin yang diserahkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Badan Masyarakat Madani kepada wakil PBB di Malaysia di sini, semalam.

Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan berkenaan dapat dilakukan melalui Jawatankuasa Khas PBB Committee on the Exercise of the Inalienable Rights of the Palestinian People.

“Mewakili komuniti antarabangsa, kami memohon secara tegas PBB untuk mendukung perjuangan kebenaran dan keadilan Palestin dengan menguatkuasakan Resolusi 2334: Bab VII Piagam PBB, mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, tindakan lebih tegas mempraktikkan resolusi PBB, mempertahankan hak warga Palestin selain mendukung dan membantu misi kemanusiaan.

“Kami menggesa seluruh warga dunia untuk bersama-sama mengecam keras tindakan biadab dan tidak bertamadun rejim Israel yang bertentangan dengan asas dan landasan hak asasi manusia dan keadilan,” katanya ketika ditemui pada penyerahan memorandum itu di sini, semalam.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Koordinator Residen PBB di Malaysia, Stefan Priesner yang akan disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, pihaknya menyeru seluruh warga Malaysia untuk terus bekerjasama dengan pihak PBB dalam konteks isu Palestin dan berusaha secara bersama untuk mencari solusi berkait isu berkenaan.

“Tanggal 29 November ialah peringatan Hari Antarabangsa Solidariti bersama warga Palestin, sebagaimana yang diwartakan melalui Resolusi 32/40B oleh PBB.

“ABIM bersama Badan Masyarakat Madani mengisytiharkan pendirian dan sikap kami kepada dunia iaitu, kami tetap teguh mendukung perjuangan warga Palestin dalam menegakkan keadilan serta membebaskan diri dan tanah air mereka daripada penjajahan rejim Zionis Israel,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 8:01am
d