mutakhir

Kantoi seludup barang kawalan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

CUBAAN lelaki menyeludup keluar barang kawalan melalui jeti haram tidak kesampaian apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), di Tawau, semalam.

Lelaki berumur 62 tahun itu ditahan menerusi Op Inter Agensi

bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu serbuan di sebuah jeti yang tidak diwartakan di Kampung Tanjung, jam 3.30 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemantauan, anggota mengesan aktiviti mencurigakan oleh suspek yang disyaki membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

“Hasil serbuan mendapati suspek warga tempatan itu menggunakan sebuah bot membawa 25 unit tong gas petroleum cecair (LPG) yang disembunyikan di dalam bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, suspek juga gagal menunjukkan permit atau surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan.

“Suspek mengaku mahu membawa barang kawalan terbabit ke Pulau Sebatik melalui jalan laut sebelum diseludup keluar ke negara jiran Indonesia.

“Suspek ditahan bersama barang rampasan termasuk bot berserta enjin sangkut dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 32,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 9:03am
d