mutakhir

3 sungai di Pahang lepasi paras berjaga-jaga

Oleh Asrol Awang

PARAS tiga sungai utama di Pahang iaitu di Kuantan dan Raub menunjukkan peningkatan apabila melebihi paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat, sejak Khamis lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, jam 9 pagi ini, dua sungai di Kuantan iaitu Sungai Kuantan di Bukit Kenau mencecah 5.89 meter (m) berbanding bacaan normal dua meter manakala Sungai Belat di Sri Damai pula 3.29 m berbanding normal 1.50 m.

Sungai Lipis di Batu Malim, Raub pula mencatat 114.03 m iaitu hampir dengan paras amaran 114.24 m, berbanding bacaan normal 113.2 m.

Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutama berhampiran sungai dinasihatkan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berpindah sekiranya berlakunya banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang, sehingga Isnin ini.

MET Malaysia dalam kenyataan, hari ini, menyatakan hujan lebat dijangka di tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Jerantut.

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang hari ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 10:07am
d