mutakhir

Rampas 200 Kg ikan bom

Oleh Fardy Bungga

PASUKAN Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu bersama Jabatan Perikanan merampas ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bahan letupan, di Pasar Ikan Sinsuran, Kota Kinabalu, semalam.

Operasi bersepadu yang dijalankan 6 petang itu berjaya menemui kira-kira 200 kilogram ikan bom pelbagai jenis yang dijual kepada orang ramai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi selama tiga jam itu dijalankan dengan kekuatan seorang pegawai kanan dan lima anggota PPM bersama tujuh pegawai daripada Jabatan Perikanan.

Katanya, objektif utama operasi itu adalah memberi tumpuan terhadap peniaga yang disyaki menjual ikan hasil daripada aktiviti pengeboman ikan di perairan Sabah dan seterusnya menyekat rantaian penjualan atau permintaan ikan bom di pasaran Kota Kinabalu.

“Sepanjang operasi ini, 10 peniaga ikan di Pasar Ikan Sinsuran Kota Kinabalu diperiksa. Pemeriksaan secara terperinci dilakukan dan hasilnya, kita berjaya mengesan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah letupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan itu kebanyakannya ditemui dalam keadaan organ dalaman pecah selain cepat berbau busuk.

Katanya, semua ikan berkenaan dirampas bersama dua tong ikan dan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM4,200.

“Semua rampasan dibawa ke pejabat Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985kerana menangkap ikan dengan cara menggunakan bahan letupan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan atau penjualan ikan bom boleh disalurkan maklumat kepada Balai Polis yang berhampiran atau menghubungi PPM Kota Kinabalu di talian 088-243 925.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 10:44am
d