mutakhir

Lalok leka berhibur

Oleh Fardy Bungga

EMPAT pengunjung pusat hiburan yang leka berhibur sambil melepaskan gian ketagihan dadah ditahan polis dalam operasi di empat pusat hiburan, hari ini.

Dalam serbuan berakhir 4 pagi itu, seorang lagi lelaki ditahan selepas didapati memiliki enam biji pil ekstasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi diketuai pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Mohd Ramadzan Siraj Sulaiman.

Katanya, operasi menumpukan pusat-pusat hiburan dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah daripada berleluasa.

“Dalam operasi yang dijalankan di empat lokasi berasingan membabitkan pusat hiburan di sekitar pusat bandaraya ini, 127 pengunjung diperiksa.

“Daripada jumlah itu, dua lelaki dan dua remaja perempuan didapati positif hasil ujian saringan awal air kencing manakala seorang lagi memiliki 2.40 gram dadah ekstasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua suspek berusia 18 hingga 40 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan selama dua tahun pengawasan polis.

“Operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini,”katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 1:40pm
d