mutakhir

Redah banjir demi anak syurga [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“AIR naik terlalu cepat menyebabkan saya mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelewek bagi menyelamatkan diri terutama anak istimewa yang menghidap palsi serebrum (CP),” kata Azizah Muhammad, 46, mangsa banjir dari Taman Sri Agong, Kampung Padang Siam di Tanah Merah.

Azizah berkata, dia berpindah ke PPS itu, jam 2.30 petang semalam kerana memikirkan keselamatan anak bongsu, Nor Alif Hakimi Norarizan, 11, yang juga orang kurang upaya (OKU).

Katanya, dia dan suami, Norarizan Dahalan, 51, meredah air sedalam 0.5 meter sambil mendukung anak bongsu istimewanya untuk pergi ke kereta yang diparkir di tempat yang lebih tinggi.

“Melihat air sudah masuk ke dalam rumah separas 0.2 meter (m), saya terus ke PPS demi keselamatan diri dan keluarga terutama dua anak.

“Air naik bermula jam 12 tengah malam semalam kerana hujan lebat tanpa henti dan kebetulan perumahan ini berdekatan sungai,” katanya.

Suri rumah, Roslina Mohd Ariffin, 50, pula berkata, dia sekeluarga berpindah ke PPS kerana air sudah memasuki rumahnya.

Katanya, dia bersama suami, Mohd Zamri Mamat, 51, dan tiga anak termasuk anak bongsu, Alisya Nur Hazirah Mohd Zamri, 9, yang mengalami sindrom down menaiki kereta ke PPS.

“Hampir setiap tahun, rumah kami dilanda banjir dan yang terburuk pada 2014 kerana paras air mencecah dua m.

“Tahun ini, kami sekali lagi dilanda banjir, namun bersyukur kerana sempat berpindah sebelum paras air lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Mat Yusof berkata, pihaknya memindahkan mangsa banjir bermula malam semalam selepas beberapa kampung dinaiki air.

Katanya, polis sentiasa bersedia membantu mangsa walaupun pada waktu tengah malam demi keselamatan mereka.

“Kita dapati mangsa banjir sudah mula pulang ke rumah selepas paras air semakin surut di kediaman masing-masing. Namun, masih ada beberapa kampung yang masih dinaiki air ekoran hujan lebat masih berlaku.

“Saya nasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air supaya membuat persiapan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

“Berpindah awal dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 3:57pm
d