mutakhir

TNB pastikan bekalan tidak terputus

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan memastikan bekalan elektrik di pusat pemindahan sementara (PPS) dan bilik gerakan daerah atau negeri yang dilanda banjir sentiasa ada demi keselesaan mangsa serta semua petugas.

Pengurus Kanan Perkidmatan Pelanggan dan Pembangunan Perniagaan TNB Azmel Mohamed berkata, perkara itu antara persediaan pihaknya dalam menghadapi bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada Disember dan Januari.

“TNB akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Tenaga dan agensi lain dalam membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh.

“Antara langkah yang kita lakukan adalah membuka bilik gerakan di setiap daerah dan negeri yang berlaku banjir seperti yang sedang melanda Kelantan dan Terengganu kini,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Baiti Jannati TNB peringkat negeri di Pusat Khidmat Komuniti Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Azmel berkata, selain dari memastikan bilik gerakan dan PPS banjir terus mendapat bekalan kemudahan elektrik, TNB juga akan memastikan setiap rumah mangsa banjir yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dan dimatikan keseluruhan suis utamanya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya, untuk langkah keselamatan TNB juga akan menutup bekalan elektrik di sesetengah kawasan yang perlu.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, sebanyak 19 rumah bagi program itu dilaksanakan di Perak pada tahun ini membabitkan kos RM950,000.

“Daerah Kerian memperoleh empat rumah, Kinta (tiga), Hilir Perak (dua), masing-masing satu di Daerah Hulu Perak dan Larut Matang dan Selama.

“Sebanyak 91 rumah sudah dibina TNB sejak 2008 dengan kos berjumlah RM3.83 juta di Perak” katanya.

Penerima, Asri Said, 48, dari Kampung Parit Sungai Melan berkata, dia bersyukur dapat memiliki rumah sendiri selepas lebih tujuh tahun memohon pelbagai bantuan yang ditawarkan kerajaan.

Menurutnya, sebelum ini isterinya, Nurul Yati Ishak, 35, bekerja sebagai jururawat namun sejak dia diserang angin ahmar tujuh tahun lalu, kehidupan kami susah dan terpaksa berpindah mencari kediaman baru dan kali terakhir kami menyewa rumah penduduk di sini sebelum mendapat rumah bantuan yang disumbangkan TNB.

“Bantuan rumah Baiti Jannati ini amat bermakna kepada keluarga saya kerana selain tidak perlu lagi membayar sewa bulanan, keadaan rumah ini sangat selesa dan tugas menjaga isteri yang terlantar lebih mudah apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) turut membantu dari segi peralatan perubatan dan bantuan pencen ilat,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 5:47pm
d