mutakhir

Bantu salur maklumat CRS

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KEBERGANTUNGAN masyarakat khususnya ibu bapa kepada media sosial dalam isu penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) menyebabkan inisiatif penerangan pihak berwajib mengenai keperluannya agak perlahan.

Walaupun tarikh penguatkuasaannya ditetapkan pada 1 Januari nani tetapi masih ramai pengguna jalan raya tidak mendapat maklumat tepat mengenai spesifikasi, matlamat penggunaan serta piawaian sedia ada yang digunakan di peringkat antarabangsa.

Aktivis Kind Safety Louis Tan berkata, perkara itu menjadi cabaran kepada pihaknya serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kempen berkenaan selepas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Oktober lalu.

"Berdasarkan soalan di Facebook, ramai yang masih tidak tahu bahawa terdapat dua piawaian CRS di pasaran iaitu Eropah dan Amerika Syarikat. Kita akan menggunakan Piawaian Eropah iaitu ECE R44 atau R129 saja dan untuk itu, ibu bapa perlu jelas mengenai penggunaannya.

"Namun pada masa ini, persoalan berkaitan harga menjadi isu pokok, sementara yang lain tidak begitu mendapat tempat.

“Jadi kita adakan kursus dan advokasi bagi membantu ibu bapa dan pengguna faham mengapa penggunaan CRS adalah perlu di negara ini," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie di pejabatnya di Petaling Jaya.

Louis berkata, kursus dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu sudah dua kali diadakan sebelum ini dan akan diteruskan sehingga hujung tahun bagi memberi input kepada pengguna mengenai manfaatnya.

Sementara itu Mohammad Hisham berkata, kerjasama antara dua NGO itu turut merangkumi kempen keselamatan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada awam mengenai keperluan memasang CRS berdasarkan statistik kemalangan setakat ini.

Menurutnya, sepatutnya orang ramai merujuk terus kepada agensi berwajib untuk mendapatkan maklumat tepat kerana pandangan di media sosial boleh diberikan oleh sesiapa saja termasuk mereka yang bukan ahli dalam soal keselamatan.

"Ini yang kita khuatir. Terlalu banyak pendapat bersifat peribadi. Saya sendiri pernah menyuarakan isu ini kerana bimbang masyarakat mendapat maklumat yang salah.

"Pelaksanaan peraturan yang membawa kebaikan perlu disokong dan kita perlu memberikan maklumat tepat bagi membolehkan ia disambut baik semua pihak, demi kebaikan bersama," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 6:39pm
d