mutakhir

115 pemilik kenderaan rosak terima sumbangan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 115 pemilik kenderaan rosak akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Stesen KTM Sungai Gadut, Seremban, menerima bantuan ihsan daripada kerajaan negeri, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,900 sebagai sumbangan bantuan ihsan kepada semua mangsa membabitkan RM600 kepada pemilik kereta dan motosikal (RM250).

Menurutnya, sebanyak 87 kereta dan 28 motosikal milik penumpang serta kakitangan KTMB rosak dalam kejadian banjir kilat pada 17 Oktober lalu itu.

“Keamatan hujan mencecah 159 milimeter (mm) pada hari kejadian ditambah dengan kedudukan rendah tempat letak kereta menyebabkan air naik begitu pantas.

“Ini menyebabkan kereta dan motosikal di stesen berkenaan tidak sempat dialihkan dan ditenggelami air,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Kilat Stesen KTM Komuter Sungai Gadut, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Datuk Kamarulzaman Zainal.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya mencadangkan supaya KTMB dan RAC meneliti semula kedudukan tempat letak kereta di stesen itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Selain itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sudah melakukan kerja pembersihan di Sungai Gadut dan Sungai Simin bagi memastikan aliran air lancar serta tidak melimpah.

Harian Metro pada 17 Oktober lalu melaporkan, puluhan kereta ditenggelami air akibat banjir kilat di KTM Sungai Gadut.

Hujan lebat bermula 4 petang itu menyebabkan beberapa kawasan sekitar Sungai Gadut dinaiki air pada paras 0.9 meter hingga 1.5 meter.

Berita berkaitan

'118 kenderaan ditenggelami air [METROTV]'

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 7:26pm
d